Tuesday, December 2, 2008

Pemimpin melayu perlu berani

Melayu perlu ilmu tinggi elak dipertikai kaum lain
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin



KUALA TERENGGANU: Orang Melayu perlu kuat, berilmu tinggi dan berkeupayaan mengatasi perjuangannya tanpa kelemahan jika mahu melihat Ketuanan Melayu terus kukuh dan tidak dijadikan pertikaian mana-mana pihak, termasuk kaum lain di negara ini," kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, orang Melayu juga memerlukan individu atau pemimpin yang berani menyatakan sesuatu mengenai Ketuanan Melayu jika tidak mahu terus ‘dipukul’ oleh pihak lain yang melihat Melayu semakin lemah dan tidak lagi gagah seperti sering diperkatakan.
"Akhir-akhir ini yang berani bercakap pasal ketuanan semua balik kepada Sultan, Raja-raja kita, di mana orang politiknya? Mesti ada golongan ini (orang politik) yang berani menyatakan sesuatu dan tidak lagi hanya berkata jangan cakap ini, jangan cakap itu.

"Kalau kita tidak lahirkan perkara sebenar hari ini, kita akan terus dalam keadaan dipukul oleh mereka yang menyatakan awak (Melayu) tidak segagah itu. Sekiranya Melayu kuat, berilmu tinggi dan boleh mengatasi perjuangannya tanpa kelemahan, bukan saja bangsa kita, bahkan orang lain juga akan hormat pada kita.
“Tetapi, kalau kita lemah seperti pokok condong, kura-kura pun naik. Dulu pokok orang Melayu berada dalam kedudukan yang tegak, usahkan kura-kura, monyet pun tidak berani naik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Bahasa Melayu Dalam Komunikasi Era Globalisasi anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, semalam. Hadir sama Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof Dr Abdul Majid Mat Isa.

Katanya, soal Ketuanan Melayu tidak boleh dikaitkan dengan pandangan politik kerana ia berasal daripada pensejarahan kesultanan Melayu yang menjadi payung junjungan rakyat negara ini dan tidak boleh disebut ketuanan dalam bentuk parti politik lain.

"Hal ini jangan kita cucuk pada pandangan politik. Istilah Ketuanan Melayu itu berasal daripada pensejarahan Sultan Melayu dan bagi orang Melayu, ketuanan bagi mereka ialah Sultan yang memerintah sesebuah negeri. Jadi kita tidak boleh sebut ketuanan dalam bentuk MIC dan MCA," katanya.

Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, beliau yakin kepemimpinan dalam parti selepas Perhimpunan Agung Umno pada Mac depan akan membawa pembaharuan, sekali gus menangani masalah Ketuanan Melayu dan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi pertikaian banyak pihak ketika ini.

1 comment:

Dienda Sayang.. said...

orang melayu, apatah lagi ahli=ahli politik yang selama ini sentiasa gah menyuarakan pendirian mereka, seharusnya apabila menerima komen sebegini, golongan ini seterusnys sokongan rakyat mesti terus kuat dan gagah memperjuangkan kedaulatan negara, ketuanan melayu dan hak-hak keistimewaan org melayu....Kalau kita lemah jangan kan kura2, kambing, siput, anai-anai, bahkan serigala pun berani kacau kita...